Kerjaya kelab Clément Lenglet

Nancy

Lenglet melakukan penampilan sulungnya di Ligue 2 bersama Nancy pada 27 September 2013 dalam aksi terikat seri tanpa jaringan menentang AC Arles-Avignon selepas menggantikan Rémi Walter pada minit ke-32.

Beliau seterusnya tampil dalam 34 perlawanan Nancy pada musim 2015–16 yang menyaksikan pasukannya itu dinobatkan sebagai juara liga. Beliau menjaringkan gol pertamanya untuk Nancy pada 29 Januari 2016 dengan menyamakan kedudukan permainan sebelum pasukannya meraih kemenangan 3-1 ke atas Clermont.[2] Pada 12 Februari, beliau telah dibuang padang dan menyebabkan pasukan lawan dianugerahkan tendangan penalti selepas beliau mengasari pemain Sehrou Guirassy dalam pertembungan menentang Auxerre yang berakhir dengan keputusan seri 2-2.[3] Pada 25 April, beliau menjaringkan gol tunggal permainan semasa menentang Sochaux sekali gus mengesahkan kedudukan pasukannya ke saingan Ligue 1 selepas tiga tahun beraksi di divisyen kedua.[4]

Pada separuh pertama bagi musim 2016-17, beliau beraksi dalam 18 perlawanan Ligue 1 untuk Nanci sebagai kesebelasan utama.[5]

Sevilla

Pada 4 Januari 2017, Lenglet berpindah ke Sepanyol dengan menyertai kelab La Liga, Sevilla menerusi kontrak sehingga tahun 2021. Bayaran perpindahan Sevilla kepada Nancy bernilai 5 juta euro. Beliau telah dibawa masuk untuk menggantikan pemain yang berasal dari negaranya juga, Timothée Kolodziejczak yang baru menyertai Borussia Mönchengladbach.[6]

Beliau melakukan penampilan sulungnya untuk kelab Andalusia itu pada lapan hari kemudian dalam perlawanan pusingan ke-16 Copa del Rey menentang Real Madrid yang berkesudahan seri 3-3 namun secara agregat pasukannya tewas 6-3.[7] Pada 15 Januari, beliau melakukan penampilan sulungnya di La Liga menentang lawan yang sama yang berakhir dengan keputusan kemenangan 2-1 memihak kepada Sevilla sekali gus meleburkan rekod 40 perlawanan tanpa kalah oleh Real Madrid dalam semua kejohanan.[8] Beliau sterusnya beraksi dalam 17 perlawanan liga pada separuh kedua musim.

Pada 19 Ogos 2017, Lenglet telah menjaringkan gol pertamanya untuk Sevilla dengan menghasilkan gol pembukaan permainan ketika menentang Espanyol pada perlawanan pertama musim baru. Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1 dan jaringannya itu dipertikaikan selepas perlawanan sama ada melepasi garisan atau sebaliknya.[9] Beliau menjaringkan gol pertamanya dalam kejohanan Eropah pada 1 November dengan menanduk masuk bola ke dalam gawang lawan hasil hantaran lintang Éver Banega ketika menentang Spartak Moscow pada perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.[10] Semasa beliau mempamerkan prestasi cemerlang dengan memastikan gawang pasukannya tidak dibolosi sewaktu menentang Manchester United pada aksi pertama peringkat kalah-mati Liga Juara-Juara, ESPN FC telah meletakkan Lenglet ke dalam kesebelasan utama terbaik Liga Juara-Juara.[11]

Barcelona

Pada 12 Julai 2018, Lenglet menyertai Barcelona apabila pihak kelab itu telah memetik klausa pelepasan Lenglet yang bernilai 35 juta euro.[12] Beliau beraksi sehingga wisel penamat dari sepak mula ketika perlawanan Piala Super Sepanyol 2018 menentang kelab lamanya, Sevilla yang berakhir dengan kemenangan Barcelona. Pada 23 September, Lenglet telah dibuang padang dalam perlawanan sulungnya bersama Barcelona di La Liga ketika menentang Girona selepas beliau bertindak untuk menyiku Pere Pons.[13] Beliau menjaringkan gol kemenangan Barcelona pada perlawanan Copa del Rey menentang Cultural Leonesa 1–0. Beliau menjaringkan gol pertamanya di La Liga ketika bersama Barcelona semasa menentang Real Sociedad di Camp Nou. Kemudian, beliau membantu jaringan gol Antoine Griezmann untuk menghasilkan gol pertama Barcelona semasa mereka menundukkan Eibar pada 19 Oktober.[14]

Rujukan

WikiPedia: Clément Lenglet http://www.auxerretv.com/content/index.php?post/20... http://www.bdfutbol.com/en/j/j%7B%7B%7Bid%7D%7D%7D... http://www.clermontfoot.com/actus/actualites/nancy... http://www.espnfc.com/story/3032576/nancys-clement... http://www.goal.com/en/match/barcelona-v-girona/8g... http://www.lavanguardia.com/deportes/20170113/4133... http://www.marca.com/futbol/espanyol/2017/08/20/59... http://www.national-football-teams.com/v2/player.p... http://www.soccerway.com/players/%7B%7B%7Bid%7D%7D... http://www.soccerway.com/players/clement-lenglet/2...